Monday, January 4, 2010

Jangan Kelirukan Atau Politikkan Kalimah ALLAH - PAS

PAS memberi peringatan kepada semua pihak agar tidak menyalahgunakan perkataan Allah bertujuan untuk mengelirukan atau menjadikan isu tersebut sebagai politik murahan mendapat sokongan rakyat.

Pendirian PAS itu dibuat Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang melalui satu kenyataan yang dibaca Ketua Penerangan, Idris Ahmad selepas mesyuarat khas Lajnah Politik, Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut malam tadi.

Bagaimanapun PAS ujar Abdul Hadi, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakanpilihan sendiri.

Prinsip kebebasan beragama juga katanya, telah termaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

"Walau demikian, dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian pelbagai kaum dan agama,"kata kenyataan itu.

PAS turut menjelaskan bahawa berdasarkan kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenarkanuntuk digunakan oleh agama Samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Namun, penggunaannya secara salah dan tidak bertanggungjawab harus dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Sehubungan itu, PAS dengan tegas menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat di negara ini.

"PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan di jamin oleh Islam," katanya lagi..

Turut hadir dalam mesyuarat sebelum itu Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Nuridah Salleh.Pendirian tersebut juga dibuat selepas mengambil kira semua faktor termasuk melihat kepada pandangan semua pihak sebelum ini.


www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment