Friday, January 8, 2010

Pakatan Kutuk Serangan Keatas Gereja


KENYATAAN AKHBAR PIMPINAN TERTINGGI PAKATAN RAKYAT

8 JANUARI 2010

Kami mengutuk tindakan pihak tertentu yang menyerang 3 gereja di sekitar Lembah Klang awal pagi tadi. Serangan tersebut adalah satu perbuatan yang dikecam semua agama dan peradaban.

Perbuatan seperti itu tiada tempat dalam mana-mana negara pun di atas dunia ini. Kami percaya ianya berpunca dari politik amarah yang sempit, ditambah dengan unsur provokasi jahat yang semakin menular dan runtuhnya rasa saling hormat menghormati dalam negara kita yang tercinta ini.

Setiap rakyat dalam negara ini, tanpa mengira agama, kaum, keturunan dan etnik seharusnya dapat menikmati keamanan spiritual dan fizikal mereka. Seharusnya sebarang perbezaan pendapat dan pandangan tidak terus dilebarkan.

Kami yakin sebarang perselisihan dapat diselesaikan dengan menumpukan usaha untuk membawa semua pihak ke meja rundingan.

Oleh yang demikian, seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat dengan tegas meminta supaya individu atau mana-mana kumpulan yang menyebarkan api kebencian dan kekerasan sebegini agar dihukum dengan setimpalnya.


YB DATO SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Ketua Umum PKR


YAB LIM GUAN ENG
Setiausaha Agung DAP


YB DATO' SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Thursday, January 7, 2010

Tuntutan Qazaf Jangan Dilengahkan Lagi

Pagi ini saya telah memfailkan suatu Permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur terhadap tiga pihak iaitu, Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan (“KPS”), Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (“JAWI”)


dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal Agama Islam, Mejar Jeneral (B) Dato’ Hj Jamil Khir bin Baharom.



Permohonan saya adalah untuk mendapat suatu perintah daripada Mahkamah Tinggi Syariah terhadap KPS supaya menggunakan kuasanya bagi mendakwa MOHD SAIFUL BUKHARI BIN AZLAN (“MSB”) di atas kesalahan jenayah Qazaf di bawah Seksyen 41 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997. (Gambar - Anwar semasa kali pertama memfailkan tuntutan Qazaf pada 8 Julai, 2008)


Saya juga memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan Pengarah JAWI dan Menteri tersebut supaya tidak menghalang dan/atau mempengaruhi KPS daripada menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam pendakwaan terhadap MSB.


Permohonan saya tersebut adalah lanjutan daripada Qazaf saya bertarikh 9 Julai 2008 kepada Bahagian Penguatkuasa dan Pendakwaan JAWI terhadap MSB yang telah membuat suatu pengataan palsu bahawasanya saya telah melakukan perbuatan liwat ke atas dirinya pada tarikh 26 Jun 2008.


Saya telah disiasat sebanyak dua kali dan saya telah menyerahkan kepada JAWI kesemua bukti-bukti, di antaranya laporan polis, Sumpah Laknat Saiful, laporan perubatan dan senarai saksi-saksi yang bersama saya pada waktu kejadian.


Dalam bulan Ogos 2009 saya mendapat maklumat pihak JAWI telah selesai menjalankan siasatan mereka namun sehingga sekarang KPS masih belum mengambil apa-apa tindakan Mahkamah terhadap MSB. Kesemua surat-surat peguam syarie saya yang bertanyakan mengenai status Laporan Qazaf saya, tidak dijawab KPS.


Oleh itu saya agak terkejut apabila YB Menteri telah memberitahu Parlimen pada 27 Oktober 2009 bahawa KPS memutuskan bahawa pendakwaan Qazaf terhadap MSB hendaklah menunggu perbicaraan Liwat di Mahkamah Tinggi Sivil selesai terlebih dahulu.


Saya ingin menegaskan bahawa kesalahan jenayah Qazaf adalah berbeza dengan kesalahan jenayah Liwat. Qazaf adalah kesalahan jenayah syarie yang tidak mempunyai persamaan dengan mana-mana kesalahan di bawah Kanun Jenayah yang digunakan di Mahkamah Sivil.


Saya memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah kerana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk membicarakan kesalahan Qazaf.


Mahkamah Syariah juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan Responden-Responden supaya menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka ke atas kesemua pendakwaan dan pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah di Wilayah Persekutuan.


Sebagai seorang Islam saya berhak untuk mendapat perlindungan terhadap maruah dan nama baik saya daripada dicemari seperti yang dijamin oleh Hukum Syarak


ANWAR IBRAHIM

Bintang bakal musnah bumi




LONDON: Pakar astronomi mendedahkan semalam yang sebutir bintang dijangka meletup begitu kuat hingga dapat memusnahkan bumi.



Ia akan musnah sendiri dalam letupan yang dikenali sebagai supernova dengan kekuatan yang sama dengan 20 bilion bilion bilion mega tan bahan letupan. Kajian terbaru menunjukkan bintang itu, T Pyxidis, berada lebih dekat dengan jangkaan sebelum ini, 3,260 tahun cahaya, satu lompatan pendek dalam kiraan galaksi.



Kesan letupan termonuklear itu boleh memusnahkan lapisan ozon bumi yang menjadi penghalang radiasi berbahaya. Jika keadaan itu berlaku, kehidupan di bumi akan rentung.



Senario hari kiamat itu didedahkan semalam oleh pakar astronomi dari Universiti Villanova di Philadelphia, Amerika Syarikat. Mereka berkata, satelit penjelajah ultraviolet antarabangsa menunjukkan kepada mereka bahawa T Pyxidis sebenarnya terdiri daripada dua bintang, satu digelar kenit putih yang menyedut gas dan semakin membesar. Apabila mencapai berat kritikal, ia akan meletup sendiri. Ia akan bercahaya seperti semua bintang lain dalam galaksi yang disatukan.



Pakar berkata, teleskop angkasa lepas Hubble merakamkan gambar bintang itu dengan beberapa siri letupan kecil yang dipanggil novas.



Letupan itu sering berlaku setiap 20 tahun bermula pada 1890 tetapi terhenti selepas 1967.
Ini bermakna letupan untuk 20 tahun berikutnya sudah tertangguh, kata saintis, Edward M Sion, Patrick Godon dan Timothy McClain dari Persatuan Astronomi di Washington.



Robin Scagell, Naib Presiden Persatuan Astronomi Popular berkata: “Bintang itu mungkin menjadi supernova sedikit masa lagi. Bagaimanapun, tempoh itu masih terlalu jauh. Jangan bimbang.” - Agensi





Wednesday, January 6, 2010

Pemuda PAS jumpa Paderi, tidak berdemo

KUALA LUMPUR, 7 Jan: Ketika Pemuda Umno dan Ngo yang menyokongnya mahu mengadakan demo, Pemuda PAS telah menghantar satu surat semalam dan mahu mengadakan pertemuan serta dialog bersama Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Nicholas Xavier Pakiam dalam tempoh terdekat ini berhubung isu nama Allah.

Surat itu dihantar oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah (DPPWP), Kamaruzaman Mohamad (gambar).



Pemuda Umno bersama beberapa Ngo telah merancang untuk mengadakan demo bagi membantah keputusan mahkamah itu.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Hussein pula dalam langkah yang mengejutkan telah membenarkan demo itu diadakan walaupun jelas demo itu akan memanaskan hubungan antara agama dan kaum di negara ini.


Dalam satu kenyataan medianya, Kamaruzaman berkata, Pemuda PAS Wilayah tidak berhasrat untuk menyertai atau mengadakan apa-apa demontrasi berhubung isu nama Allah pada masa ini demi mengelakkan ketegangan antara agama yang berlaku menjadi lebih serius.


"DPPWP melihat pertemuan sebegini adalah ruang yang lebih positif bagi membincang dan menyampaikan hasrat umat Islam berhubung isu yang sensitif ini secara matang," katanya.


Menurutnya, ruang diplomasi masih ada dan pihaknya menolak sebarang tindakan agreasif bersifat provokasi yang boleh memburukan lagi keadaan ini.


"DPPWP menyokong keputusan PAS Pusat supaya perkara ini dibincang dengan mengambil kira sensitiviti rakyat keseluruhannya," katanya.


DPPWP juga bercadang untuk menjemput beberapa pimpinan lain untuk turut serta selepas pihak mereka memberikan jawapan berhubung hasrat pertemuan ini.


"Kita amat berharap agar pihak mereka menerima tawaran dialog ini demi kebaikan rakyat keseluruhannya," katanya.


DPPWP juga berharap agar umat Islam dapat bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh memburukkan imej Islam.


http://www.harakahdaily.net/

Bekas MB Perak cedera kemalangan




IPOH: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengalami kecederaan ringan di kaki selepas kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan pagi ini.

Kemalangan berlaku apabila kenderaan jenis Toyota Camry yang dipandunya cuba mengelak sebuah kenderaan lain yang keluar dari satu persimpangan sebelum terbabas di Jalan Dr Raja Nazrin Shah berhampiran Hotel Casuarina.

Ketua Trafik Perak, Superintendan Wan Abdullah Ishak, berkata kereta milik Mohammad Nizar yang menggunakan nombor plet BKC 8857 terbalik di tempat kejadian sejurus terbabas.

Beliau berkata, Mohammad Nizar dalam perjalanan dari rumahnya di Sungai Rokam ke klinik gigi. "Beliau kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Bainun.

www.hmetro.com.my

Al-Qaeda balas dendam terhadap CIA: SITE

KABUL: Al-Qaeda berkata serangan bom nekad di pangkalan Amerika Syarikat di Afghanistan yang membunuh tujuh ejen CIA adalah "balas dendam" terhadap kematian pejuang dalan serangan pesawat kawalan jauh di Pakistan, kata kumpulan pemantau AS, SITE.

Seorang rakyat Jordan yang dikenali sebagai Humam Khalil Abu-Mulal al-Balawi yang dikatakan ejen tiga muka, meletupkan dirinya di pangkalan di Khost pada 30 Disember dalam serangan maut paling buruk terhadap CIA sejak 1983.

SITE berkata, ketua al-Qaeda di Afghanistan, Mustafa Abu al-Yazid, menyatakan pengebom nekad itu menulis dalam wasiatnya bahawa ia adalah serangan balas dendam untuk "rakan syahid kita" dan menamakan beberapa pejuang kanan yang terbunuh dalam serangan pesawat kawalan jauh AS itu. - AFP

www.bharian.com.my

Umno raih simpati rakyat isu 'Allah'

KOTA BHARU, 6 Jan: Mengapa pemimpin Umno menjadi kelam kabut dengan isu penggunaan nama Allah oleh Herald, sedangkan dalam masa yang sama mereka memisahkan agama dan politik.


Persoalan tersebut dilontar Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat setelah melihat Umno tiba-tiba nampak serius dengan isu tersebut.


“Tahukah mereka pengertian nama Allah itu sendiri sedangkan pegangan pemimpin Umno memisahkan agama dan politik.


"Mereka sanjung perkataan Allah swt tak boleh guna sembarangan, tetapi dalam pada yang sama mereka menyebut agama lain dan politik lain,” katanya pada ceramah isu semasa di Medan Ilmu malam tadi.


Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Ketua Penerangan, Ahmad Baihaki Atiqullah.


Baru-baru ini Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan nama Allah dalam penerbitan Herald ‘The Catholic Weekly’.


Ekoran itu Kementerian Dalam Negeri memfailkan permohonan menangguhkan pelaksanaan perintah mahkamah tersebut.


Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, pemimpin Umno sebenarnya ada agenda di sebalik isu tersebut bagi meraihkan sokongan daripada rakyat.”Kalau mereka mengatakan agama lain, politik lain, maka siapa yang menjaga politik semasa Nabi saw masih hidup dahulu,” katanya.


Beliau juga meluahkan rasa hairan pemimpin negara menyanjung tokoh ulama luar negara, Dr Yusuff Al-Qardhawi sehingga memberi tokoh Maal Hijrah, sedangkan pengikut ulama tersebut di negara ini dikenakan tekanan.


Kata beliau Dr Yusuff Al-Qardhawi dalam bukunya Fiqh Al-Daulah begitu marah kepada alim ulama atau tok guru yang tidak berpolitik dalam kehidupan mereka.

"Ini juga pernah berlaku pada zaman Imam Ibn Al-Qayyim di mana beliau mengadu pemerintah pada masa itu membuat peraturan sendiri tanpa merujuk kepada Islam.


“Keadaan itu berlaku kerana alim ulama dan tok guru tidak berperanan dalam politik dan bersifat jumud."Raja, sultan atau amir pada masa itu menggubal undang-undang sendiri sehingga menyebabkan berlaku banyak kerosakan,” katanya.


Baru-baru ini Dr Yusoff al Qardhawi dianugerah Tokoh Maal Hijrah 1431 pada sambutan yang diadakan pada 1 Muharam lalu.